SHAH ALAM, 11 OKT: Sebahagian besar penduduk Kampung India Settlement, Gombak setuju untuk berpindah bagi memberi laluan pembangunan projek kolam tadahan banjir di kawasan berkenaan.
Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Ahmad Kasdi bagaimanapun berkata rata-rata penduduk berharap menerima pampasan daripada Kerajaan Negeri selepas berpindah.
“Ada segelintir penduduk menuntut pampasan antaranya minta bayarkan duit sewa rumah mereka, pemberimilikan tanah dan rumah baharu (sekiranya mereka berpindah).
“Insya-Allah, segala tuntutan mereka ini kita akan perhalusi minggu depan menerusi mesyuarat khas bersama Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang,” katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, penduduk di kawasan tersebut diberi notis mengosongkan atau meroboh struktur binaan di atas tanah itu sebelum atau pada 10 Januari 2025 bagi mengelak sebarang tindakan.
Sekiranya gagal mematuhi atau ingkar dengan arahan yang dikeluarkan, penduduk boleh dikenakan denda RM500,000 atau penjara tidak kurang dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pengosongan itu bagi memberi peluang kepada pembangunan projek infra dan kolam tadahan banjir yang tertangguh sejak 2013 sekali gus memanfaatkan penduduk setempat.
Berdasarkan rekod Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, sebanyak 42 struktur kediaman terlibat di atas tanah tersebut setakat ini.