SHAH ALAM, 11 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) mengenakan syarat tambahan berikutan lebih 30,000 peminjam atau usahawan tidak melunaskan pinjaman dalam tempoh ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato' Mearia Hamzah berkata sejumlah RM206 juta pinjaman tidak berbayar (NPL), yang terpaksa ditanggung agensi negeri itu sejak 2015 hingga Disember 2023.
Jelasnya, hal itu menyebabkan peranan Hijrah Selangor yang diberi mandat memberi pembiayaan mikrokredit sehingga RM50,000 tidak dapat diperluas kepada usahawan lain yang lebih memerlukan.
"Tujuan kita buat syarat baharu ini memastikan usahawan berdisiplin buat bayaran balik. Dokumen tambahan yang ditambah baik adalah semakan penilaian laporan kredit individu (CTOS).
"(Turut diperlukan) penyata bank sehingga enam bulan dan penjamin bagi pembiayaan berisiko. Jika ada dakwaan mengatakan Hijrah Selangor seperti bank, ini tidak benar," katanya ketika ditemui.
[caption id="attachment_666187" align="alignleft" width="427"] Usahawan yang terlibat dalam Kelas Strategi Super TikTok di RHR Hotel Kajang selama dua hari bermula 21 Ogos 2023. Foto Yayasan Hijrah Selangor[/caption]
Dalam temu bual bersama Selangorkini di sini hari ini, Mearia menambah tiada halangan untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapat pembiayaan bagi perniagaan.
Sebelum ini, tular di Telegram mendakwa Hijrah Selangor mengenakan syarat ketat bagi kelulusan pinjaman, termasuk memastikan bakal peminjam tiada rekod CTOS dan bebas hutang PTPTN.
Mesej tersebut turut mendakwa peminjam perlu mengemukakan pelbagai dokumen seperti bank, sekali gus menyukarkan peniaga untuk mendapat pembiayaan diperlukan sebagai modal perniagaan.
Dalam pada itu, Mearia berkata Hijrah Selangor mengambil pelbagai inisiatif membantu usahawan melunaskan bayaran pinjaman menerusi program pengurusan hutang oleh unit kutipan dalaman.
Menurutnya, usaha tersebut mencatat pengurangan hutang sebanyak RM29 juta atau 14 peratus, sekali gus jumlah NPL dicatat menurun kepada RM177 juta setakat September lalu.
"Selain itu, kita juga buat penjadualan baharu kepada peminjam dengan memanjangkan tempoh bayaran semula daripada tiga kepada lima tahun bagi mengelakkan mereka terbeban," katanya.
Januari lalu, Mearia memaklumkan Hijrah Selangor mahu menumpukan usaha lebih serius menuntut hutang pinjaman lebih RM100 juta, untuk memudahkan pusingan modal kepada peminjam baharu.