SUNGAI BULOH, 11 OKT: Enggan menghadiri majlis konvokesyen menjadi petanda ajal Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dalam kemalangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.
Bapanya, Ku Azmi Saad, 47, berkata Allahyarham meluahkan hasrat tidak mahu hadir majlis konvokesyen dengan alasan 'ramai orang' pada pertemuan akhir mereka, Jumaat lalu.
“Masa mahu hantar Allahyarham pulang ke UiTM Dungun, dia cakap tidak mahu pergi konvokesyen kerana ramai orang. Tetapi saya anggap ia hanya perkara biasa saja.
“Sekarang baru saya nampak apa maksud Allahyarham. Apa pun, saya redha dan anggap ini semua ketentuan-Nya,” kata Ku Azmi ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Pristana di sini, malam tadi.
Terdahulu, beliau bersama isterinya, Hafizah Iszahanid, 48, tiba dari Jeddah kira-kira jam 5 petang tadi bagi menguruskan jenazah Allahyarham Ku Adib Aizad.
Kedua-duanya menaiki pesawat ke Tanah Suci jam 5 petang semalam untuk mengerjakan ibadah umrah, beberapa jam sebelum insiden yang mengorbankan pelajar Diploma Perakaunan itu.
Dalam pada itu, Ku Azmi menyifatkan Allahyarham sebagai anak yang amat menyenangkan seluruh ahli keluarga selain bercita-cita mahu menjadi akauntan sejak di bangku sekolah.
Menurutnya, beliau bersyukur kerana diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan hebat kehilangan satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik ini.
“Saya bersyukur diberi kekuatan untuk hadap semua ini. Saya berdoa untuk selesaikan semua ini segera. Saya juga minta doa supaya kuat dan tabah terutamanya apabila berdepan rakan-rakan Allahyarham,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menziarahi keluarga Ku Adib Aizad dan meluangkan masa hampir sejam di kediaman Allahyarham.
[caption id="attachment_667503" align="alignnone" width="791"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertanya khabar Ku Azmi Saad bapa kepada penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi ketika berkunjung ke kediaman mereka di Taman Sri Pristana, Saujana Utama pada 10 Oktober 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Allahyarham Ku Adib Aizad selamat dikebumikan kira-kira jam 6.15 petang di Tanah Perkuburan Islam Rauthatul 'Aliyah, Saujana Utama, di sini.
Ku Adib Aizad meninggal dunia selepas motosikal dinaiki bersama rakan dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di UiTM Dungun 7.20 malam semalam.
Turut maut dalam kemalangan itu ialah Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin. Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan parah dan kini dilaporkan stabil di Hospital Dungun.
Susulan kejadian itu, wanita dipercayai pesakit mental yang merempuh dua motosikal terbabit, direman empat hari mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.