SHAH ALAM, 11 OKT: Lebih 1,000 kekosongan jawatan ditawarkan sempena Karnival Jelajah Jobcare 2024 peringkat daerah Kuala Selangor pada 19 Oktober ini.
Program di Dewan MPKS, Puncak Alam, bermula 9 pagi hingga 4 petang menyediakan sesi temu duga terbuka, kaunseling kerjaya dan pameran agensi.
Calon perlu membawa resume dan dokumen sokongan yang berkaitan selain mengisi borang pendaftaran di pautan https://bit.ly/JOBCAREKUALASELANGOR bagi pemakluman awal pengesahan kehadiran.
Sebelum ini, EXCO sumber manusia berkata seramai 634 peserta Jelajah Jobcare Selangor di enam daerah diterima kerja sejak karnival kerjaya itu berlangsung Jun lalu.
Menurut V Papparaidu, 168 peserta memperoleh kerja menerusi karnival kerjaya di Dewan Hamzah, Klang, pada 5 Oktober lalu.
Enam siri jelajah selesai diadakan di Hulu Selangor pada 29 Jun, Petaling Jaya (17 Julai), Kuala Langat (10 Ogos), Hulu Langat (17 Ogos), Gombak (21 September) dan Klang (5 Oktober).
Program sama akan diteruskan di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang (16 November) dan Dewan Tun Razak, Sabak Bernam (14 Disember).