Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 10 OKT: Selangor komited melahirkan usahawan metropolitan bagi mendepani cabaran dalam dunia perniagaan yang semakin kompleks, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Bagi mencapai hasrat tersebut, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menubuhkan Anjung Digital Smart Selangor yang mengetengahkan pakar dari bidang perniagaan kecil dan sederhana, kecerdasan buatan AI serta transformasi digital.
Menurut Amirudin, anjung yang terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bukan sahaja menjadi pusat pertemuan bersama pakar, malah menjadi tempat untuk usahawan memperluas jaringan perniagaan.
"Anjung ini diwujudkan dengan kerjasama supaya universiti yang jadi pusat perubahan masyarakat dan pusat pergerakan mobiliti masyarakat dapat menjadi pintu yang penting kepada agenda pendigitalan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Anjung Digital Smart Selangor di Dewan Anjung Digital Smart Selangor, UKM hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin turut berharap kerjasama yang terjalin antara Smart Selangor Delivery Unit SSDU dan UKM itu dapat memacu ekonomi yang mampan serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Pada majlis sama, turut diadakan sesi pertukaran dokumen perjanjian MoA antara UKM dan SSDU Innovation Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil serta Ketua Divisyen Media dan Digital AI MBI, Daud Abd Rahman.