ad
AGENDA

MB ziarah keluarga mangsa kemalangan UiTM Dungun, hulur sumbangan peribadi

10 Okt 2024, 2:34 PM
MB ziarah keluarga mangsa kemalangan UiTM Dungun, hulur sumbangan peribadi
MB ziarah keluarga mangsa kemalangan UiTM Dungun, hulur sumbangan peribadi
MB ziarah keluarga mangsa kemalangan UiTM Dungun, hulur sumbangan peribadi

SUNGAI BULOH, 10 OKT: Dato’ Menteri Besar menziarahi keluarga Allahyarham Ku Adib Aizad yang maut dalam kemalangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa hampir sejam di kediaman keluarga Allahyarham dekat Taman Seri Pristana di sini, selain bertanya khabar ibu bapa mangsa yang baharu tiba dari Jeddah.

Beliau berkata, semakan mendapati Allahyarham Ku Adib Aizad, 20, yang juga pelajar semester tiga Diploma Perakaunan merupakan penerima dermasiswa Yayasan Selangor.

[caption id="attachment_667344" align="alignleft" width="500"]
Tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala seorang parah dalam nahas jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pantai Sura, Kuala Terengganu pada 9 Oktober 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

“Saya berkesempatan menziarahi keluarga mangsa dalam kemalangan menyayat hati di UiTM Dungun. Semoga keluarganya tabah menghadapi dugaan ini.

“Kebetulan dalam semakan kami, beliau merupakan penerima dermasiswa Yayasan Selangor. Kita kehilangan satu permata di Selangor dan amat bersedih dengan kehilangan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, malam ini.

Amirudin turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada bapa Allahyarham, Ku Azmi Saad, 47, sambil disaksikan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, pensyarah UiTM serta lebih 50 rakan mangsa.

Terdahulu, Ku Azmi bersama isterinya, Hafizah Iszahanid, 48, yang juga Penolong Pengarang Berita BH, tiba dari Jeddah kira-kira jam 5 petang tadi, bagi urusan jenazah anak sulung daripada empat beradik itu.

[caption id="attachment_667402" align="alignright" width="500"]
Jenazah tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pantai Sura disolatkan di Pusat Hidayah UiTM Dungun pada 10 Oktober 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Kedua-duanya menaiki pesawat ke tanah suci jam 5 petang semalam untuk mengerjakan ibadah umrah, beberapa jam sebelum insiden yang mengorbankan satu-satunya anak lelaki mereka berlaku.

Dalam kejadian itu, Ku Adib Aizad meninggal dunia selepas motosikal dinaiki bersama rakan dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di UiTM Dungun kira-kira jam 7.20 malam semalam.

Turut maut dalam kemalangan ialah Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin. Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan parah dan kini dilaporkan stabil di Hospital Dungun.

Susulan kejadian itu, wanita dipercayai pesakit mental yang merempuh dua motosikal terbabit, direman empat hari mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.