Oleh Danial Dzulkifly
KLANG, 10 OKT: Selangor memulakan kajian subnasional sukarela (VSR) dengan menyusun langkah sistematik bagi mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) menjelang 2030.
Bakal dibuat berperingkat, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata laporan pertama memperinci pelbagai strategi untuk memastikan Selangor mencapai sasaran itu.
“Melalui laporan ini, Selangor akan mengenal pasti kejayaan, cabaran dan bidang yang perlu diperbaiki dalam dasar dan program kami demi kesejahteraan rakyat.
"Mengintegrasikan objektif ini dalam dasar dan perancangan negeri amat penting untuk memastikan matlamat SDG ini benar-benar memberikan kesan ekonomi, sosial, dan alam sekitar,” katanya.
[caption id="attachment_667475" align="alignleft" width="453"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian Konvensyen Lestari Klang 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang, Klang pada 10 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian sempena Konvensyen Lestari Klang 2024, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk SDG di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) hari ini.
Konvensyen anjuran MBDK mengumpulkan pihak berkepentingan, pemaju dan komuniti untuk membincangkan cara terbaik mengadaptasi amalan ESG secara efektif.
VSR adalah laporan yang mengetengahkan kemajuan dicapai pihak berkuasa tempatan dan wilayah dalam menjayakan SDG, selain halangan yang dihadapi sepanjang proses tersebut.
Dalam pada itu, Amirudin berkata konvensyen tersebut penting untuk mengumpulkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan berhubung amalan terbaik ESG bagi diselaraskan dengan SDG.
Jelasnya lagi, inisiatif berkenaan menekankan kesungguhan pentadbiran negeri dalam menangani isu-isu kritikal seperti perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar.
“ESG bukan lagi slogan tetapi rangka kerja holistik untuk memastikan pembangunan ekonomi tidak mengorbankan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Beliau menambah salah satu komitmen negeri terhadap amalan ESG ialah pemuliharaan dan pembersihan sekitar Sungai Klang, yang menjadi penanda aras kepada usaha pemuliharaan alam sekitar negara.
Selangor turut menetapkan sasaran untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050 dengan kerjasama sektor awam dan swasta bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Amirudin juga merujuk usaha penanaman 100 juta pokok di seluruh negeri dan penerapan amalan pertanian lestari, yang mengeluarkan tanaman berhasil tinggi.