Oleh Norrasyidah Arshad dan Suhaila Shahrul Annuar
SHAH ALAM, 10 OKT: Pembentangan Belanjawan Selangor 2025 dijadual berlangsung pada 15 November depan, kata Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).
Menurut Lau Weng San, pembentangan jangkaan kos perbelanjaan tahunan itu bersekali dengan sidang DNS yang dijadual berlangsung sehingga 29 November.
“Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 akan jadi isu penting (tumpuan) selain isu lain. Saya jangkakan sidang dewan akan datang bakal berjalan dengan sangat padu,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau mempengerusikan sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung program Skim Insurans Am Selangor (INSAN) di Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Belanjawan Selangor 2025 menggariskan beberapa cabaran baharu bagi meneruskan momentum negeri sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara.
Amirudin berkata pentadbirannya berhasrat memajukan sektor pendigitalan khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi pembinaan pusat pembangunan AI pertama di Selangor.
Selain kemajuan bidang pendigitalan, Amirudin menambah, Belanjawan Selangor 2025 bakal memberi penekanan terhadap persediaan negeri berdepan dampak perubahan iklim dan pemanasan global.
Menurutnya, Selangor perlu berada dalam keadaan berdaya tahan dan memperkemas semua agensi berkaitan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana seperti banjir besar yang berlaku pada 2021.