ad
AGENDA

EXCO: Tiada lagi caj pemajuan bina rumah mampu milik mulai 2025

10 Okt 2024, 9:01 AM
EXCO: Tiada lagi caj pemajuan bina rumah mampu milik mulai 2025

SHAH ALAM, 10 OKT: Selangor mengumumkan pengecualian caj pemajuan terhadap pemaju yang membina projek perumahan mampu milik bermula Januari tahun depan.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata pengecualian caj tersebut dijangka meningkatkan jumlah projek perumahan mampu milik sekali gus melepasi sasaran 200,000 unit menjelang 2027.

“Semalam kita cadangkan dalam mesyuarat supaya caj pemajuan dikecualikan untuk beri ruang besar kepada pemaju. Tetapi bersyarat hanya untuk projek rumah mampu milik, Rumah Idaman dan Rumah Harapan.

“Pengecualian ini tanpa syarat dan akan dikuat kuasa bermula Januari 2025. Perinciannnya akan diumumkan Dato’ Menteri Besar pada Belanjawan Negeri 2025 November ini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menyempurnakan Konvesyen Perumahan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Setia Alam di sini, hari ini.

Konvesyen tahunan kali ketiga itu turut dihadiri EXCO Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim dan Pengerusi REHDA Selangor Datuk Zaini Yusoff.

Sementara itu, Zaini menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pengecualian caj pemajuan bagi projek perumahan mampu milik.

“Sebenarnya kalau diikutkan, pemaju sukar mahu dapat keuntungan untuk bina rumah mampu milik. Namun, dengan pengecualian caj ini beri kami sedikit kelegaan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.