SHAH ALAM, 10 OKT: Lelak dipercayai terlibat dalam kes buli jalanan yang tular di media sosial beberapa hari lalu ditahan polis semalam.
Suspek berusia 26 tahun, yang bekerja sebagai penjual komponen kenderaan, ditahan 5.30 petang di Meru, Klang dan polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian pada 9.45 malam, Sabtu lalu suspek dipercayai memandu secara melulu serta menghimpit sebuah kenderaan yang dinaiki lelaki tempatan bersama isteri dan seorang anak perempuan di kawasan Bulatan Kayangan, Seksyen 10 di sini.
Beliau berkata kedua-dua kenderaan kemudiannya berhenti di tepi jalan berhampiran hentian bas berdekatan sebelum suspek datang ke arah kenderaan mangsa dan cuba menarik kunci kereta ketika mangsa membuka pintu namun tidak berjaya.
“Berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa sebelum suspek masuk semula ke dalam kereta dan cuba melanggar mangsa sebanyak dua kali.
“Cubaan pertama dielak mangsa namun kali kedua mangsa dilanggar sehingga terjatuh dan kaki kanannya digilis tayar kereta sebelum suspek memecut melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mangsa berumur 49 itu mengalami keretakan kecil di kaki kanan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam.
Mohd Iqbal berkata mangsa yang bekerja sebagai jurulatih kapal laut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 10.28 malam hari sama.
Beliau berkata siasatan mendapati kejadian berpunca akibat rasa tidak puas hati dengan suspek mendakwa kenderaannya dihalang oleh kereta dipandu mangsa ketika hendak ke susur kiri dari arah Bulatan Kayangan Seksyen 10 menghala ke Seksyen 7.
Mohd Iqbal berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya positif dadah jenis Benzo.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah ASP Md Anuar Md Amilah ditalian 019-2255597 bagi membantu siasatan.
- BERNAMA