ad
BERITA UTAMA

Kemelut rumah tangga paling banyak dapatkan khidmat kaunseling

10 Okt 2024, 8:10 AM
Kemelut rumah tangga paling banyak dapatkan khidmat kaunseling
Kemelut rumah tangga paling banyak dapatkan khidmat kaunseling
Kemelut rumah tangga paling banyak dapatkan khidmat kaunseling

Hampir satu bilion penduduk dunia termasuk berjuta-juta kanak-kanak dan anak muda mengalami kesihatan mental, kebanyakan mereka tiada kemudahan untuk menerima rawatan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2019 pula mendapati seorang daripada lapan remaja berusia 10 hingga 19 tahun di negara ini berdepan dengan gangguan mental.

Masalah itu memuncak sepanjang pandemik Covid-19 pada 2020 termasuk peningkatan kes bunuh diri. Menurut polis, 631 kes dicatat pada tahun berkenaan, meningkat berbanding 609 kes pada 2019.

Di Selangor, sebanyak 10,459 kes sedemikian dirujuk ke klinik kesihatan daerah dalam tempoh empat tahun dari 2020 hingga 31 Mac tahun ini, menurut EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin.

Bilangan pesakit tertinggi direkod di Klang iaitu lebih 500 pesakit setahun, diikuti Petaling (lebih 400 pesakit) dan Sepang (lebih 300 pesakit). Justeru, Selangor mewujudkan Talian Selangor Mental Sihat (SEHAT) kendalian Pusat Kaunseling Selangor (PKS).

Menurut penyelarasnya Faridah Abdul Jalil @ Abas yang ditemu bual sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober, seramai 3,394 meliputi lebih 5,000 sesi dijalankan sejak 2018 sehingga kini.

Semua kes dikendali kaunselor bertauliah berdaftar Lembaga Kaunselor Malaysia melalui janji temu. Meski mereka bukan penyelesai masalah tetapi sekurang-kurangnya membantu mereka mencapai kelegaan emosi (katarsis).

Belia berusia 29 hingga 40 tahun paling ramai mendapatkan khidmat itu. Mereka dalam situasi menyesuaikan diri dengan pelbagai proses kehidupan. Berkahwin, mencari pekerjaan dan pelbagai isu lain. Jika gagal, mereka berdepan tekanan berlebihan.

 

Isu keluarga

 

Kes tertinggi melibatkan isu kekeluargaan khususnya hubungan suami isteri termasuk tiada persefahaman, kecurangan pasangan dan tabiat menonton bahan porno.

Sejak 2018 hingga kini, sebanyak 2,880 kes rumah tangga diterima PKS.

“Biasanya, individu yang hadir ke PKS sedar mereka berada dalam kemelut rumah tangga dan tahu jika isu mereka ini tidak didengari atau tidak dibantu, boleh membawa kepada kesihatan mental.

[caption id="attachment_667420" align="alignleft" width="205"] Penyelaras Pusat Kaunseling Selangor (PKS) Faridah Abdul Jalil @ Abas[/caption]

“Kami mengesyorkan agar kedua-duanya iaitu suami dan isteri mendapatkan sesi kaunseling bagi menetapkan matlamat sesi dan hala tuju dalam hubungan perkahwinan,” kata Faridah pada 4 Oktober.

Tiga cawangan PKS terletak di Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang. Perkhidmatan yang ditawar antaranya kaunseling individu, kelompok, keluarga, rumah tangga dan perkahwinan, kerjaya dan trauma.

Pengadu juga boleh mendapatkan khidmat tersebut menerusi talian SEHAT melalui talian 1700-82-7536 atau 1700-82-7537.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.