ad
AGENDA

Tambah baik sistem pintasan kecemasan, maklum amaran bencana menerusi telefon pintar

10 Okt 2024, 7:45 AM
Tambah baik sistem pintasan kecemasan, maklum amaran bencana menerusi telefon pintar
Tambah baik sistem pintasan kecemasan, maklum amaran bencana menerusi telefon pintar

PUTRAJAYA, 10 OKT: Sistem amaran banjir terutamanya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) akan ditambah baik dengan sistem pintasan kecemasan bagi memberi amaran menerusi pesanan tetingkap timbul (pop-up alert) yang dihantar ke telefon pintar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata beberapa negara telah melaksanakan sistem pemakluman bencana menerusi sistem pintasan kecemasan ke telefon pintar dan tidak lagi bergantung pada sistem pesanan ringkas (SMS) atau siren semata-mata.

[caption id="attachment_629388" align="aligncenter" width="776"] Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas majlis peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada 20 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

"Saya akan bincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) apa yang boleh dilakukan dengan syarikat telekomunikasi untuk membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini untuk memaklumkan rakyat terutama di sesuatu kawasan, selain daripada amaran siren banjir, mungkin melalui telefon mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini. Kita akan teliti kemudahan itu," katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini

Turut hadir Timbalan Menteri Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan SKMM Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi turut menyeru agensi di bawah Kementerian Komunikasi untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi MTL memandangkan jumlah taburan hujan yang tinggi boleh merosakkan fasiliti rangkaian telekomunikasi.

"Kita minta bersiap sedia dengan peralatan sekiranya banjir berlaku, (harus) pantas untuk mobilisasi dan membantu," katanya sambil menambah bantuan telah disampaikan kepada warga kementerian yang terjejas akibat banjir sejak beberapa minggu lepas.

Negara dijangka mengalami fenomena peralihan MTL pada minggu keempat bulan ini yang dijangka membawa hujan lebat serta risiko bencana seperti banjir.

Dalam pada itu, Fahmi meminta Bernama, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) dan Jabatan Komunikasi (JKOM) untuk membantu rakyat di setiap negeri memahami inti pati ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Komunikasi Strategik Kabinet baru-baru ini, kita beri pandangan bagaimana membantu rakyat memahami dengan mendalam pesanan dan pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri pada Jumaat depan (18 Okt),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.