ad
ADN

INSAN: Tiada isu pelanggaran PDPA, data pemegang polisi milik negeri

10 Okt 2024, 7:20 AM
INSAN: Tiada isu pelanggaran PDPA, data pemegang polisi milik negeri
INSAN: Tiada isu pelanggaran PDPA, data pemegang polisi milik negeri

Oleh Norrasyidah Arshad dan Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 10 OKT: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) diberitahu tiada pelanggaran data dalam Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Mantan ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata data pemegang polisi dimiliki Kerajaan Negeri dan tidak tertakluk bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

“Kami (MBI dan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd) berjumpa suruhanjaya PDPA dan terima nasihat daripada mereka. Kami maklumkan kepada mereka peranan MBI memproses data dan ia diterima.

"Mereka berpuas hati dan nasihatkan kami memberi pilihan kepada rakyat untuk teruskan atau tidak. Itu nasihat mereka dan kami kemas kini pendaftaran,” jelas Norita Sidek.

Beliau bercakap ketika memberi penerangan sebagai salah seorang saksi dalam sesi pendengaran awam Selcat berhubung pelaksanaan program INSAN dan hala tujunya, di sini hari ini.

[caption id="attachment_667374" align="alignright" width="451"] Mantan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Sidek mengangkat sumpah pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat) berhubung pelaksanaan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dan hala tuju masa hadapannya di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 Oktober 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menafikan menggunakan data peribadi rakyat Selangor tanpa kebenaran bagi pendaftaran skim percuma itu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan maklumat data awam yang boleh dibeli bagi pendaftaran.

Isu berkenaan timbul berikutan pertikaian pengguna didaftarkan tanpa kebenaran, sekali gus menimbulkan kebimbangan awam terhadap tahap keselamatan data peribadi.

Selcat bersidang hari ini bagi menilai dan merungkai persoalan Ahli Dewan Negeri (ADN) berhubung tatakelola dan pelaksanaan program tersebut serta hala tujunya.

Sesi pendengaran itu turut menampilkan dua lagi saksi iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.

INSAN dilancarkan sejak 1 Oktober 2022 untuk memberi perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan secara percuma kepada enam juta rakyat berumur 30 hari hingga 80 tahun.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.