ad
AGENDA

PM ucap takziah kepada keluarga tiga penuntut UiTM maut kemalangan di Dungun

10 Okt 2024, 6:45 AM
PM ucap takziah kepada keluarga tiga penuntut UiTM maut kemalangan di Dungun

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun, Terengganu semalam.

Anwar menerusi hantaran di platform X hari ini berkata kes kemalangan itu sangat menyayat hati dan beliau sendiri turut terkesan dengan kejadian itu.

“Semoga keluarga tabah hadapi dugaan ini dan mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Semalam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin berkata panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pihaknya pada 7.26 malam sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi nahas.

Dalam kejadian itu, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 ditunggang mangsa dan sebuah kereta Honda CRV dipandu seorang wanita.

Kereta berkenaan didapati merempuh kedua-dua motosikal yang dalam perjalanan ke universiti dari arah belakang menyebabkan sebuah daripada motosikal berkenaan diseret hampir 60 meter.

Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan, manakala pemandu wanita yang dipercayai menunjukkan tanda masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.