SHAH ALAM, 9 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 siri kedua bagi tahun ini dijadual membuka tirainya pada 16 Oktober di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur.
Persidangan yang berlangsung empat hari hingga 19 Oktober meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) atau SIE F&B, Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) serta Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).
SIE F&B antaranya akan mengetengahkan pempamer utama iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dijangka membawa pengisian dalam forum sehari berkaitan topik keterjaminan makanan.
[caption id="attachment_654433" align="aligncenter" width="773"] Pengurus Silicon Island Development, Marianne Loke (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (SELHAC) turut menjadi acara dalam SIE F&B yang menjadi medan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa meneroka pasaran halal di rantau ini.
SDEC pula dijangka memperkenal sesi menumpukan inisiatif terbaharu negeri iaitu taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan Pemacu Semikonduktor Malaysia.
Acara penting lain adalah tiga forum utama ketika subkonvensyen SLC termasuk forum Kelestarian Masa Depan Selangor-Korea yang membincangkan teknologi biotani dan bidang lain yang berkaitan.
Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata SIBS siri kedua menyasar nilai transaksi hampir RM1 bilion.
[caption id="attachment_654192" align="aligncenter" width="802"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melawat reruai selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Invest Selangor sebelum ini memaklumkan, SIBS 2024 siri pertama pada 25 hingga 27 Julai menjana nilai transaksi RM12.2 bilion, hampir dua kali ganda daripada sasaran keseluruhan RM7 bilion.
Membabitkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor, kejayaan luar biasa itu turut menarik lebih 8,500 pelawat ke persidangan.
Antara negara yang mengambil bahagian termasuk negara-negara jiran Asean, China, Jepun, Australia, Kanada, Perancis, Jerman dan United Kingdom.
Sepanjang SIBS siri pertama berlangsung, 23 surat setuju terima, surat hasrat, memorandum perjanjian dan memorandum persefahaman dimeterai.
[caption id="attachment_655108" align="aligncenter" width="797"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) meyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Cyberview Sdn Bhd ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]