SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengesahkan video tular di media sosial memaparkan seorang peniaga membasuh kuali dipercayai menggunakan air longkang tidak berlaku di kawasan pentadbirannya.
MBSA dalam kenyataan memaklumkan tindakan segera diambil dengan mengenal pasti lokasi gerai terbabit dan hasil semakan mendapati ia tidak beroperasi di Shah Alam.
“Pihak MBSA ingin menasihati orang ramai untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak sahih dan boleh menimbulkan kekeliruan di dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu kerana ia menjejaskan imej MBSA,” menurut pihak berkuasa tempatan itu.
MBSA turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap para pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan kebersihan mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (Majlis Bandaraya Shah Alam) 2007.
“Orang ramai juga boleh mengemukakan aduan kepada pihak MBSA jika terdapat pengendali dan premis makanan yang tidak menjaga kebersihan melalui sistem pengurusan aduan awam SISPA,” jelasnya.
Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan seorang peniaga roti canai membasuh kuali dipercayai menggunakan air longkang hingga mencetuskan kemarahan orang awam.
Berdasarkan hantaran video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok pada Isnin, peniaga terbabit kelihatan cemas apabila perbuatannya dirakam dan dia berlalu pergi tanpa sebarang reaksi atau penjelasan.