ad
BERITA UTAMA

Program ganti paip usang ikut jadual, hampir capai sasaran 300km setahun

9 Okt 2024, 8:00 AM
Program ganti paip usang ikut jadual, hampir capai sasaran 300km setahun

SHAH ALAM, 9 OKT: Program penggantian paip usang di seluruh Selangor berjalan seperti dijadualkan dan hampir mencapai sasaran tahunan iaitu 300 kilometer (km), kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim memaklumkan pihaknya kini sedang menunggu laporan terkini daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) selaku agensi melaksana kerja-kerja penggantian paip.

“Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menggandakan penggantian paip daripada 150km kepada 300km dengan peruntukan ditanggung Air Selangor.

“Dalam mesyuarat bersama Air Selangor baru-baru ini telah menunjukkan penggantian paip berada pada sasaran yang betul dan hampir mencapai 300km setahun. Kita sedang tunggu laporan daripada Air Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memaklumkan program penggantian paip daripada 150km kepada 300km setahun bermula tahun ini, kemudiannya 400km setahun pada 2034.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan setakat ini lebih 600km paip usang selesai diganti pentadbiran negeri secara berfasa sejak 2016 demi keselesaan rakyat.

Malah, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menzahirkan kegembiraan terhadap usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kesan kenaikan tarif air.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu dilihat menerusi inisiatif Kerajaan Negeri yang menyerap dan menanggung kos bagi penerima air percuma Skim Air Darul Ehsan (SADE), sekolah, masjid, surau dan rumah ibadah.

Baginda pada masa sama menggesa semua pihak memberi kerjasama bagi memastikan proses penggantian paip usang dapat disegerakan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.