ad
AGENSI

Yayasan MBI bakal anjur program literasi sekolah rendah, buat modul atasi murid cicir 3M

9 Okt 2024, 7:32 AM
Yayasan MBI bakal anjur program literasi sekolah rendah, buat modul atasi murid cicir 3M

SHAH ALAM, 9 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bakal menganjurkan program literasi sekolah rendah pada 16 Oktober ini.

Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata program itu bertujuan membincangkan penyelesaian keciciran murid sekolah rendah dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

"Kita akan kumpulkan kira-kira 30 guru dari seluruh Selangor yang pakar dalam pemulihan berkaitan isu 3M untuk berbincang dan mewujudkan modul khas kepada murid berkenaan.

"Insya-Allah, modul ini akan diguna pakai di semua sekolah seluruh Selangor bagi mengatasi masalah murid yang keciciran dalam kemahiran 3M," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Azri berkata program dua hari satu malam itu bakal diadakan di Hotel Wyndham, Klang dengan mengumpulkan guru pakar termasuk kakitangan terlibat dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

"Kita akan merangka strategi bagaimana untuk terbitkan modul dan insya-Allah, tahun depan kita akan mula mengedarkan di sekolah seluruh Selangor," katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar berkata seramai 17,000 murid sekolah rendah yang keciciran kemahiran 3M akan melalui proses intervensi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif pembelajaran secara percuma itu dibuat bagi mengatasi keciciran kemahiran literasi dan numerasi murid di peringkat sekolah rendah.

Jelasnya, angka diperolehi dari JPN Selangor itu terutamanya melibatkan murid darjah satu hingga tiga yang terkesan akibat kekangan akses pembelajaran di sekolah ketika pandemik Covid-19.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.