ad
AGENSI

Infrasel tampal lebih 25,000 jalan berlubang, komited tingkat keselesaan pengguna

9 Okt 2024, 4:11 AM
Infrasel tampal lebih 25,000 jalan berlubang, komited tingkat keselesaan pengguna
Infrasel tampal lebih 25,000 jalan berlubang, komited tingkat keselesaan pengguna

SHAH ALAM, 9 OKT: Syarikat penyelenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menampal sebanyak 25,125 jalan berlubang antara Januari hingga 30 September tahun ini.

Infrasel memaklumkan sejumlah 259 aduan kerosakan jalan raya diterima dalam tempoh sama berbanding 156 aduan (2023), 194 aduan (2022) dan 105 aduan (2021).

Menurut perkongsian data di Facebook, secara keseluruhan agensi itu telah menampal 117,443 jalan berlubang sejak 2021 hingga September 2024.

Daerah Kuala Selangor mencatat 32,840 tampalan, diikuti Klang (17,687), Sabak Bernam (15,396), Petaling (14,475), Kuala Langat (13,686), Sepang (8,542), Hulu Langat (8,661), Gombak (4,395) dan Hulu Selangor (1,761).

“Infrasel bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor akan terus berusaha memastikan kualiti infrastruktur jalan raya berada pada tahap terbaik demi keselamatan dan keselesaan pengguna,” ujarnya.

Infrasel sebelum ini turut menggalakkan orang ramai terus membuat aduan dengan memuat naik ciapan di X bersama hashtag #INFRASEL #NamaJalan #Daerah.

Sebelum ini, menurut EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim sejumlah RM20 juta diperuntuk untuk melaksanakan Projek Turapan Mega 2.0 tahun ini dengan kerja menurap diutamakan kepada jalan yang memerlukan penyelenggaraan segera demi memastikan keselamatan pengguna.

Kerja turapan ini melibatkan laluan kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT), bawah daerah serta Jabatan Kerja Raya.

Tahun lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya berskala besar meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.