ad
AGENSI

Wujud ekosistem digital, Sidec rangkul anugerah prestij di Armenia

8 Okt 2024, 1:30 PM
Wujud ekosistem digital, Sidec rangkul anugerah prestij di Armenia

SHAH ALAM, 8 OKT: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) merangkul anugerah berprestij Digital Opportunity/Inclusion di WITSA Excellence Awards 2024 di Yerevan, Armenia.

Ketua Pegawai Operasinya Loo Chuan Boon berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen Sidec dalam mewujudkan ekosistem digital kepada usahawan sehingga mereka boleh berkembang maju.

“Ini termasuklah impak inisiatif Selangor 1000 Digital 2024 dan Anugerah Peniaga E-Dagang Terbaik Malaysia yang mana kami membuka peluang kepada usahawan untuk terokai ekonomi digital.

“Kami dengan bangganya menerima anugerah ini bagi pihak Sidec yang sekali gus menandakan detik bersejarah untuk kami dan landskap digital Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Chuan Boon turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan yang banyak menyokong antaranya Pejabat EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti; Pejabat EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan dan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ucapan sama turut dituju kepada AFFIN, Lazada, Shopline, FIUU, Pos Malaysia dan rakan kongsi lain yang banyak memberi kerjasama dan sokongan dalam menjayakan inisiatif itu.

“Kerjasama mereka memainkan peranan penting dalam memacu transformasi digital dan mengangkat komuniti perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia.

“Sambil meraikan kemenangan ini, kami tetap fokus pada masa depan dan bersedia untuk terus memperkasakan perniagaan Selangor dengan peluang digital dan inovasi,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.