SHAH ALAM, 8 OKT: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan lanjutan reman satu dan dua hari terhadap tiga individu termasuk seorang pegawai kewangan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Majistret Mohamed Redza Azhar Reza membenarkan reman dilanjutkan terhadap kesemua individu berusia antara 40 hingga 50 tahun itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita selepas tempoh reman mereka yang bermula 1 Oktober lalu tamat hari ini.
Peguam Rosli Kamarudin yang mewakili semua individu berkenaan berkata seorang wanita direman dua hari manakala selebihnya sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Sementara itu, mahkamah sama turut membebaskan tiga individu daripada reman termasuk seorang peguam yang dikaitkan dengan GISBH selepas mendapati tiada keperluan untuk menahan mereka selain tidak berpotensi untuk melarikan diri.
"Peguam itu yang merupakan seorang daripada peguam pemerhati sebelum ini ditahan reman polis selama tujuh hari di Changlun, Kedah dan hari ini dia dibebaskan," katanya.
Polis melancarkan Op Global awal September lalu dan menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Hasil serbuan 572 mangsa diselamatkan dan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut ditahan.
- BERNAMA