ad
AGENDA

Laksana dua pelan atasi bah, setiausaha politik MB jawab PAS Selangor

8 Okt 2024, 9:55 AM
Laksana dua pelan atasi bah, setiausaha politik MB jawab PAS Selangor
Laksana dua pelan atasi bah, setiausaha politik MB jawab PAS Selangor

SHAH ALAM, 8 OKT: Selangor melaksanakan dua kaedah mitigasi dan pengurusan banjir melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah itu di seluruh negeri.

Setiausaha politik kepada Dato' Menteri Besar berkata langkah struktur melibatkan pembinaan ban, tembok penahan air, terowong, saluran pintasan dan bendungan rendah bagi kawalan bah.

Menurut Saifuddin Shafi Muhammad, langkah bukan struktur pula merangkumi pembangunan Program Ramalan Amaran Banjir Negara, yang berupaya meramal banjir monsun tujuh hari lebih awal.

Jelasnya, kaedah itu merujuk ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia dan pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi - sistem amaran bah untuk mengumpul dan memproses data hidrologi.

"Bercakap soal komitmen, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari terbukti turun ke lapangan berselinsing lengan bersama membantu pemindahan mangsa banjir.

"(Beliau juga) terlibat pembersihan terutama sewaktu banjir besar di Selangor pada 2021, segalanya mempunyai rekod seperti semua sedia maklum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjawab dakwaan pemuda PAS Selangor bahawa Kerajaan Negeri gagal menguruskan masalah bah berulang termasuk di Ijok, Saifuddin berkata ia berpunca daripada kegagalan projek tebatan Sungai Buloh.

[caption id="attachment_638644" align="alignright" width="453"] Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad[/caption]

Tegasnya, projek yang sepatutnya siap Disember tahun ini dianugerahkan mantan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 2020, namun baharu selesai 70 peratus.

"Sewajarnya pemuda PAS Selangor bertanya apakah kriteria pemilihan kontraktor yang sehingga kini gagal menyelesaikan projek penting dalam masa ditetapkan," katanya.

Kelmarin, pemuda PAS Selangor mengecam Kerajaan Negeri itu kerana didakwa masih gagal menguruskan masalah banjir yang berulang kali melanda walaupun sudah mendapat peruntukan yang tinggi.

Ketuanya Mohamed Sukri Omar mendakwa penduduk Selangor juga sudah jemu melihat kegagalan pentadbiran negeri menguruskan 'acara tahunan' (krisis) tersebut.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata Selangor antara terawal menghulurkan bantuan ketika negeri PAS dilanda bah, antaranya RM1 juta untuk Kelantan dan RM500,000 kepada Terengganu pada 2021 dan 2022.

Malah, tegasnya, negeri itu turut menyediakan bantuan jentera pengurusan bencana dan sukarelawan, selain tidak pernah mendabik dada berhubung tanggungjawab menguruskan banjir.

Menurutnya, isu bencana alam boleh berlaku kepada mana-mana pihak, justeru omongan pimpinan PAS supaya pimpinan negeri ini ditukar adalah bersifat politik dan wajar dijawab.

"Saya konsisten eloklah mereka menukar dahulu menteri besar (MB) Kelantan, Terengganu dan Kedah. Semalam Perlis dilanda banjir kilat, maka eloklah MB Perlis ditukar juga.

"Itu sekiranya perbandingan hendak dilakukan tentang keberkesanan pengurusan bencana antara Selangor dengan empat negeri di atas," tegas Saifuddin.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.