SHAH ALAM, 8 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenal pasti 100 kolam di seluruh negeri yang berpotensi dijadikan sebagai sumber air alternatif tambahan.
EXCO infrastruktur berkata ia termasuk kolam takungan di Bestari Jaya yang direka bentuk dengan pelbagai fungsi sekali gus berupaya dijadikan kolam tebatan banjir, rekreasi dan mitigasi pencemaran.
“Kolam takungan hiliran (ORS) yang terletak di Bestari Jaya merupakan kolam yang mempunyai kepentingan bagi pembekalan sumber air alternatif di Lembangan Sungai Selangor.
“Kawasan ORS merangkumi enam kolam dengan keluasan 64.98 hektar yang sedang dibangunkan dengan prasarana lengkap melalui projek Skim Jaminan Air Mentah.
“Ia bagi tujuan pembekalan sumber air alternatif kepada loji rawatan air Rantau Panjang,” kata Ir Izham Hashim dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan LUAS turut meningkatkan keterlibatan inisiatif Friends of Rivers Selangor (FOR) bagi menggalakkan komuniti, badan bukan kerajaan dan korporat untuk laksana aktiviti memelihara sungai dan sumber air.
“Di bawah inisiatif FOR, pelbagai aktiviti bermanfaat dijalankan seperti gotong-royong pembersihan, acara kemasyarakatan dan juga rekreasi yang bersesuaian dan berfaedah.
“Melalui usaha ini, kawasan sumber air seperti kolam-kolam di Bestari Jaya ini sekali gus dapat dijaga dan dipelihara dengan usaha sama pelbagai pihak,” katanya.