ad
AGENDA

Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus

8 Okt 2024, 4:59 AM
Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Kumpulan Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus pada 2024, peningkatan 14 peratus daripada 4.3 peratus yang ditetapkan pada April lalu.

Ketua Ahli Ekonominya bagi Malaysia Apurva Sanghi berkata semakan naik itu didorong oleh faktor domestik dan luaran ketika ekonomi global mencatat prestasi lebih baik berbanding jangkaan pada enam bulan lalu.

Di peringkat domestik, beliau berkata momentum ekonomi yang positif, peningkatan kestabilan politik dan persekitaran dasar yang terus kondusif serta memacu lebih banyak pelaburan, menyumbang kepada peningkatan unjuran pertumbuhan berkenaan.

“Pertumbuhan global itu dijangka stabil dalam lingkungan 2.6 peratus tahun ini walaupun dalam senario ketegangan geopolitik yang berterusan serta kadar faedah lebih tinggi...oleh itu, terdapat minat baharu terhadap pertumbuhan, khususnya dalam kalangan negara maju.

“Malaysia berada dalam kedudukan yang baik. Dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun secara amnya, (terdapat) aliran positif dalam keyakinan pengguna, pembuatan serta perkhidmatan,” katanya kepada media dalam sesi taklimat mengenai Tinjauan Ekonomi Malaysia bagi Oktober 2024 di pejabat Bank Dunia di sini, hari ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.