SHAH ALAM, 7 OKT: Setiausaha Politik kepada Dato' Menteri Besar membidas kenyataan Pemuda Pas Selangor yang mengaitkan isu banjir dengan kebimbangan pelaburan menurun.
Saifuddin Shafi Muhammad berkata Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM 12.4 bilion pada suku pertama tahun 2024, peningkatan 66.8 peratus berbanding RM 7.44 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.
Jelas beliau, laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan nilai pelaburan itu menawarkan 8,377 peluang pekerjaan meliputi 363 projek, sebahagiannya diisi mereka yang berhijrah dari negeri ditadbir Pas.
"Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.
"Jadi dakwaan bahawa pelabur kurang berminat terhadap Selangor juga adalah tidak tepat dan bersifat naif," katanya menerusi kenyataan.
Beliau mengulas dakwaan Ketua Pemuda PAS negeri Mohamed Sukri Omar yang berkata isu banjir di Selangor mungkin menjejaskan kemasukan pelabur di negeri ini.
Saifuddin Shafi menegaskan kenyataan mengenai banjir di Selangor dan mengaitkan dengan pelaburan
negeri ternyata tidak cerdik dan hanya menampakkan sikap bodoh sombong.
Beliau berkata Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dibantu barisan EXCO, jabatan serta agensi sentiasa bersiap siaga menjelang musim Monsun Timur Laut.
“Justeru jika mengambil logik Sukri Omar, maka kita sudah tahu puncanya pembangunan di Kelantan menjadi lembab selepas ditadbir oleh PAS selama 30 tahun,” katanya.