HULU LANGAT, 7 OKT: Guru masih berperanan besar dalam mendidik anak bangsa walaupun dunia mengalami ledakan teknologi masa kini, tegas menteri pendidikan.
Fadhlina Sidek berkata walaupun guru masa kini dilatih menguasai bidang digital, teknologi tidak akan pernah mampu mengambil alih peranan dan pentingnya tugas guru.
“Kita tegaskan dalam semua paltform, walaupun ada kemungkinan rempuhan (ledakan) teknologi ini akan jadi lebih hebat tetapi ia tidak akan sama sekali mengambil alih tugas guru.
“Negara ini cukup tegas mempertahankan kewibawaan guru dan kehadiran teknologi digital ini tidak pernah sama sekali untuk ambil alih tugas guru atau selesaikan masalah pendidikan, apatah lagi pedagogi,” katanya ketika merasmikan program Tekad Reformasi Pendidikan di sini, hari ini.
Beliau berkata teknologi seharusnya harus digunakan sebagai fasilitator (pemudah cara) dan mengukuhkan penyampaian perkhidmatan perguruan.
“Teknologi ini sebagai fasilitator dan amplify (pengukuhan) dan ia harus disertai dengan integriti keguruan yang sangat tinggi,” katanya.
[caption id="attachment_666968" align="alignnone" width="1014"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (empat dari kanan) bersama pelajar yang memperolehi Gred A+ dalam semua subjek Sijil Pelajaran Malaysia 2023 di Dewan Sri Cempaka, Suajana Impian Kajang Selangor pada 7 Oktober 2024.FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempersiapkan pelan pembangunan pendidikan baharu memandangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan berakhir tahun depan.
“Enam task force Reformasi Pendidikan sedang kita usahakan bagi menampung dan tambah baik apa-apa yang kita tertinggal dalam proses menuju pelan pendidikan baharu yang mana ia bukan hanya untuk ketika ini tetapi masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, KPM mengumumkan enam task force (pasukan petugas khas) diwujudkan dalam reformasi pendidikan negara meliputi Intervensi Kurikulum, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Digital.
Selain itu Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukih Bahasa Inggeris (MBMMBI), Penyelarasan Prasekolah dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).