SHAH ALAM, 7 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bersedia membantu pemulihan akidah bekas ahli GISB Holdings (GISBH) di institusinya, sama ada kemasukan sukarela atau perintah mahkamah.
Pengerusinya berkata usaha bersama agensi kerajaan dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) dibuat secara menyeluruh, merangkumi pelbagai peringkat umur bagi jangka pendek dan panjang.
Menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pemulihan melibatkan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan dan 26 rumah pemulihan al-Riqab di seluruh negeri.
"(Pusat pemulihan ini) berperanan menguruskan perlindungan bimbingan, rawatan spiritual Islam dan
kaunseling kepada individu dan kumpulan yang memerlukan pemulihan akidah dan akhlak," katanya.
Dalam kenyataan hari ini, beliau menambah pelan tindakan yang dibangunkan bermula 23 September turut meliputi bantuan pemulihan akidah dan sosial ratusan kanak-kanak GISBH.
Mengutamakan kebajikan dan keselamatan mereka, jelasnya, seramai 20 guru al-Riqab mengajar di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat melibatkan 261 kanak-kanak.
Abdul Aziz berkata pemulihan menggunakan modul khas yang dibangunkan Mais, Jabatan Agama Islam Selangor dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor bermula 1 Oktober lalu.
"Agensi Mais iaitu Yayasan Islam Darul Ehsan turut menyalurkan keperluan asas termasuk ibadah solat untuk kanak-kanak ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, bekas ahli GISBH yang selesai mengikuti pemulihan boleh menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor bagi pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan dan ekonomi.
Terdahulu, EXCO agama Islam berkata penyimpangan ajaran GIBSH yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan dibawa ke Masjlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi pewartaan.
Bakal dibuat dalam masa terdekat, keputusan itu menurut Dr Fahmi Ngah akan diteliti penasihat undang-undang negeri, selain kemungkinan diusul dalam sidang Dewan Negeri akan datang.