HULU LANGAT, 7 OKT: Seramai 17,000 murid sekolah rendah yang keciciran kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) akan melalui proses intervensi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), tahun depan.
Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif pembelajaran secara percuma itu dibuat bagi mengatasi keciciran kemahiran literasi dan numerasi murid di peringkat sekolah rendah.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan angka diperolehi dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu terutamanya melibatkan murid darjah satu hingga tiga yang terkesan akibat kekangan akses pembelajaran di sekolah ketika pandemik Covid-19.
“Angka yang kita perolehi dari Jabatan Pendidikan Negeri ini membabitkan murid darjah satu, dua dan tiga terutamanya, yang berdepan masalah literasi dan numerasi kebanyakannya terkesan secara langsung dari pandemik Covid-19.
“Jadi kita bukan hanya sebut lost generation (generasi tercicir) tetapi sekarang kita buat intervensi melalui PTRS supaya mereka dapat dididik dan dilatih lebih cekap dan lancar,” katanya selepas majlis perasmian program Tekad Reformasi Pendidikan yang disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sini, hari ini.
[caption id="attachment_666945" align="aligncenter" width="1008"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam Program Tekad Reformasi Pendidikan di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 7 Oktober 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu Amirudin berkata lebih 120,000 pelajar tingkatan empat dan lima seluruh negeri menikmati PTRS yang ditawarkan secara percuma tahun ini.
“PTRS bukan saja mampu melaksanakan sistem pengajaran dan pendidikan tambahan tetapi dapat bina satu modul pendidikan dibangunkan oleh pakar dan guru di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan kos lebih kurang 10 kali ganda lebih rendah dari ditawarkan syarikat atau konsultan di luar.
“Hasilnya sudah ada, apabila gred purata negeri (Sijil Pelajaran Malaysia 2023) kita nampak lebih baik tahun lepas, meningkat daripada 4.8 (pada 2022) kepada 4.67,” katanya.
Amirudin berkata PTRS juga dicadang untuk diperluas dalam bidang TVET untuk meneroka minat awal dalam sektor itu kepada pelajar.
“TVET ini biasanya hanya diceburi selepas tamat sekolah atau selepas masa agak lewat pelajar yang dianggap tiada peluang masuk universiti. Mungkin kita kena perkenal modul ini di peringkat rendah atau menengah rendah, dan cuba kembangkan dengan keupayaan dan kepakaran yang kita ada,” katanya.
PTRS adalah bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan untuk pelajar keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.
Ogos lalu, PTRS ditambah baik dengan pembangunan aplikasi dalam talian iaitu e-PTRS bagi memudahkan pelajar mengakses bahan pembelajaran.
[caption id="attachment_663202" align="aligncenter" width="1201"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat modul PTRS ketika melawat pameran selepas majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]