ad
BERITA UTAMA

Pengalaman diserang hendap Israel, 'kiri kanan syuhada bergelimpangan'

7 Okt 2024, 4:00 AM
Pengalaman diserang hendap Israel, 'kiri kanan syuhada bergelimpangan'
Pengalaman diserang hendap Israel, 'kiri kanan syuhada bergelimpangan'

Berdepan serangan hendap Israel dan puluhan rakan ditembak depan mata antara pengalaman sukar dilupakan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, aktivis Malaysia yang pernah menetap di Palestin.

Isterinya Reem Al-Minawi, warga Palestin, turut berdepan pembantaian tentera Israel antara Oktober tahun lepas hingga April sebelum dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Malaysia.

Mengimbau insiden enam tahun lalu, Muhammad Nadir berkongsi pengalaman ketika menyertai perarakan anti-Israel bersama sekumpulan penduduk di Gaza.

“Berarak secara aman tapi tiba-tiba kena serang hendap, di depan mata saya, rakan-rakan yang berarak ditembak. Puluhan syahid.

“Itu antara pengalaman teruk saya pernah hadapi. Tapi kalau hendak cerita dekat orang semula, memang rasa malu. Sebab apa? Sebab apa sangatlah pengalaman saya lalui itu jika dibanding dengan saudara Islam kita tengah hadapi sekarang. Allahuakbar,” keluhnya.

[caption id="attachment_666853" align="alignleft" width="383"] Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman[/caption]

Reem ada bercakap kepada Muhammad Nadir, penduduk Palestin trauma hilang ahli keluarga selain terpaksa berdepan penderitaan akibat serangan Israel di Gaza dalam tempoh setahun ini.

“Bayangkan di kiri dan kanan penuh syuhada bergelimpangan. Seorang ibu terpaksa mendongakkan kepala anak kecilnya ke langit kerana bimbang terkejut melihat mayat,” kata ketua pegawai eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu.

Tinggal di Gaza sejak 2013, Nadir yang ada tiga anak selalu berasa terganggu saat terkenang sahabat yang masih bergelut menentang Israel.

Lelaki berusia 37 tahun, juga pengasas CGM, pernah berada di titik paling bawah beberapa bulan sejak perang di Gaza meletus.

Mengakui terlalu letih dengan perjuangan, beliau tersentak membaca tulisan sahabat dari Gaza dalam kumpulan WhatsApp yang menceritakan kisah getir mereka untuk terus bertahan.

Sasar petugas

Rakan-rakannya di Gaza bersyukur boleh meneruskan kehidupan hari esok dan telah lali hidup dalam suasana perang.

“Memang tak layak bila saya cakap, aku sudah penat, aku sudah letih, sedangkan mereka masih lagi berjuang dengan penuh kekuatan dan kesabaran. Sebenarnya mereka mewakili jutaan umat Islam mempertahan bumi Palestin,” katanya.

Beberapa hari selepas serangan balas Israel pada 7 Oktober tahun lalu, tular sekeping gambar trak merah hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi bantuan Global Peace Mission (GPM) berada di lokasi penduduk Gaza mencari mangsa runtuhan.

Kenderaan berkenaan antara jentera yang disediakan badan sukarelawan Malaysia itu dengan bantuan dana hampir RM1 juta yang dikutip Kerajaan Selangor pada 2021 sewaktu Palestin dibom rejim zionis.

“Trak ini macam jentera bomba di Malaysia, ada peralatan untuk membantu mangsa runtuhan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GPM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Beliau juga presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sentiasa berhubung dengan sukarelawan di bumi Palestin, sebahagian daripadanya syahid ketika berjuang melawan Zionis.

“Tidak dinafikan Israel memang sasarkan petugas kemanusiaan. Memang kita tahu ramai wanita kanak-kanak terbunuh. Tapi dalam diam, ramai petugas kemanusiaan maut kerana mereka terdedah, lagipun matlamat mereka (Israel) mahu lumpuhkan misi bantuan,” katanya.

Selain itu, walau tidak berada di situ, nombor telefon Ahmad Fahmi turut disekat, gara-gara kerap berhubung dengan sukarelawan di sana.

Ahmad Fahmi juga berbangga dengan kerajaan Malaysia yang sentiasa mewakili dunia Islam menyuarakan bantahan kekejaman Zionis.

“Himpunan Pembebasan Palestin jadi platform terbaik untuk Malaysia memberi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa mengenai sokongan tidak berbelah-bagi terhadap perjuangan penduduk di Gaza.

“Suara kita bukan lagi dalam kalangan negara-negara Arab, bukan lagi OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) sahaja, tetapi pendekatan Malaysia membawa naratif Palestin ini ke seluruh dunia, juga ketegasan pemimpin-pemimpin kita,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.