ad
BERITA UTAMA

Yahudi taasub guru agama, beramal taklid buta, menolak akal

7 Okt 2024, 1:13 AM
Yahudi taasub guru agama, beramal taklid buta, menolak akal

Serangan Israel terhadap penduduk Palestin semakin menjadi-jadi. Nilai kemanusiaan seakan-akan hilang dari radar pemikiran dan jiwa Israel.

Persoalannya, apa asas kebencian ini? Tidak dinafikan bahawa perilaku dan tindakan Israel itu berkaitan pergolakan politik dan penjajahan.

Di samping mahu memastikan bangsa mereka menguasai dunia dalam apa jua bentuk, militan Israel tersebut mahu memastikan bangsa mereka terus mempunyai tempat tinggal dengan merampas tanah Palestin.

Perilaku sebegini, bukan sekadar soal kenegaraan dan politik, tetapi ia sudah bercampur dengan soal kepercayaan. Di sebalik perilaku politik, diserap juga soal kepercayaan dan akidah agama. Diletakkan asas kepercayaan bahawa perang terhadap muslim adalah tuntutan keimanan Yahudi.

Hal sebegini bukan perkara baharu. Hal sebegini pernah diceritakan dalam al-Quran ayat ke-120 surah al-Baqarah ada menyebut: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka".

Mereka tidak menyukai Nabi daripada latar sejarah yang panjang. Bermula penipuan orang-orang agama mereka yang dibayar oleh golongan kaya mereka sehingga melahirkan sentimen kebencian turun temurun dan bergenerasi.

Kenal Nabi

Dari sudut pensejarahan yang telah dikisahkan dalam al-Quran bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani sudah awal mengenali Nabi Muhammad sebelum baginda dilahirkan lagi.

Dalam ayat ke-146 surah al-Baqarah: “Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri.

Dalam kitab al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, al-Imam al-Qurtubi ada bawakan riwayat bahawa Saidina Umar ada bertanya kepada Abdullah bin Salam yang merupakan salah seorang pendeta Yahudi di Madinah yang kemudiannya memeluk Islam berkenaan ayat ini yang menyebut bahawa orang Yahudi itu mengenali Nabi sebagaimana anak-anak mereka.

Abdullah bin Salam menjawab: “bahkan (mengenali Nabi Muhammad itu) lebih dari kenali anak-anak kami, kerana berkenaan Nabi terdapat dalam Taurat yang kami baca sekian lama.”

Mereka mengenali Nabi itu dibuktikan lagi dengan bahawa mereka mempercayai bahawa Nabi akhir zaman bakal dilahirkan; iaitu apabila berlaku peperangan, mereka berdoa dengan Allah agar diberikan kemenangan dengan bertawassul dengan kedatangan Nabi SAW.

Dalam ayat ke-89 surah al-Baqarah ada berkata: “Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah (Al Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya.”

Memandangkan mereka mengenali Nabi SAW sebegitu, maka tidak hairan semasa baginda sampai ke Madinah, mereka adalah kelompok teramai yang menyambut ketibaan baginda.

Sesampai sahaja baginda pada bumi Madinah, kelompok mereka mengelilingi kenderaan Nabi, malah ada sebilangan mereka yang mencium kaki baginda yang masih berada atas kenderaan kerana mahu mengambil berkat.

Walaubagaimana pun, pengaruh Nabi Muhammad menggugat pengaruh sebilangan pembesar Yahudi yang sebelum itu ada membuat hubungan politik dan ekonomi dengan orang-orang yang berkepentingan seperti Abdullah bin Ubay bin Salul yang merupakan bapa munafik.

Mereka bimbang dengan pengetahuan kalangan Yahudi terhadap Nabi Muhammad dalam Taurat menyebabkan pengikut mereka akan beralih arah kepada baginda, maka meninggalkan daripada memberi penghormatan kepada mereka.

Bukan sekadar itu, malah apabila Nabi SAW mula mengarahkan Abdul Rahman bin Auf membuka pasar baharu yang diperkenalkan model sistem ekonomi yang tidak berasaskan kepada riba dan hindari sebarang unsur penindasan menyebabkan pembesar Yahudi semakin tergugat; bimbang pasar mereka ditinggalkan dan ia sudah pasti menggugat kekuatan ekonomi mereka.

Dengan itu, mereka mengupah kepada beberapa orang-orang agama mereka agar mengeluarkan fatwa-fatwa agama agar pengikut mereka tidak mengikut ajaran Nabi Muhammad.

Dengan itu, Rashid Ridha dalam al-Manar menyatakan bahawa ada sebilangan orang-orang agama mereka yang mengubah kandungan Taurat yang menyebut berkenaan kedatangan Nabi akhir zaman itu.

Dalam ayat ke-79 dari surah al-Baqarah ada menyebut: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka daripada apa yang mereka usahakan itu.”

Dalam pada mengubah, mereka ada mengekalkan ayat-ayat yang tidak menyentuh kepentingan mereka. Maka, pengikut mereka mula imani sebilangan ayat dan kufuri sebahagian yang lain. Ayat ke-85 surah al-Baqarah ada berkata: "Maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat."

Orang-orang agama mereka tidak berhenti sekadar itu, malah mula mencipta banyak kepercayaan yang ganjil dalam memastikan pengikut mereka kekal dengan agama yang mereka bentuk itu.

Salah satu contohnya adalah, wujud doktrin bahawa kalangan mereka sebagai kelompok yang terpilih dan pasti akan masuk ke syurga.

Jika masuk ke neraka pun, bersifat tidak kekal. Ayat ke-80 surah al-Baqarah ada berkata: “Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu."

Beragama tanpa prinsip burhan

Kepercayaan mereka kepada orang agama amat menebal. Mereka beragama bukan secara fikir. Mereka beragama secara percaya pada apa sahaja yang dibangkitkan oleh guru mereka.

Apabila guru mengatakan bahawa perlu meragui kenabian Muhammad SAW, maka mereka turut sama meraguinya.

Apabila guru mereka anggap, menentang umat Islam adalah tuntutan agama, maka mereka mempercayainya, malah melakukan penentangan tersebut.

Agama dalam penilaian mereka bukan lagi hujah dan fikir. Agama dalam anutan mereka adalah taklid buta. Apa sahaja yang datang dari mulut guru, maka itu perlu diimani.

Justeru, penilaian mereka adalah kepentingan yang berasaskan kepada hawa nafsu, bukan kebenaran yang dapat difahami melalui proses fikir.

Dengan sebab itu, ayat ke-120 surah al-Baqarah menyebut: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”

Dalam ajaran Yahudi, kebenaran hanya datang daripada kalangan mereka. Sebarang hal keagamaan dan kepercayaan yang datang dari selain ajaran mereka, pasti dianggap sebagai tidak benar, walaupun ia lebih tepat dengan burhan dan hujah.

Kepercayaan sebegini sudah meresap dalam agama mereka yang menyebabkan penganut agama itu tidak akan menerima Islam, malah terus menerus memusuhi Islam.

Walaubagaimana pun, ajaran Islam menekankan konsep burhan. Ekoran itu, dalam sambungan ayat terbabit, Allah berkata: Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah, itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.

Prinsip burhan atau hujah ini, dinyatakan dalam ayat ke-111 surah al-Baqarah: "Katakanlah (Wahai Muhammad), datangkan burhan kamu, jika kamu dari kalangan orang-orang yang benar."

Malah asal ayat 111 ini diturunkan pun kerana menolak kepercayaan Yahudi yang anggap bahawa penganut agama mereka pasti akan masuk ke syurga: "Mereka berkata: sekali-kali tidak akan masuk ke dalam syurga kecuali mereka adalah orang Yahudi atau orang Nasrani."

Penutup

Daripada kupasan ini, dapat diberikan beberapa rumusan seperti berikut;

a) Salah satu masalah besar yang berlaku pada agama Yahudi adalah beragama secara taasub terhadap ajaran para agamawan mereka. Sebarang perkara yang dipersembahkan oleh guru mereka dianggap sebagai benar, walaupun kadangkala bercanggah dengan konsep burhan.

b) Apabila guru-guru mereka dibayar oleh orang-orang berkepentingan dalam kalangan mereka, maka kitab Taurat yang menyebut berkenaan kebenaran Nabi Muhammad selaku nabi akhir zaman digelapkan daripada Taurat.

c) Dengan digelapkan berkenaan Nabi SAW dari Taurat, menyebabkan penganut Yahudi tidak mengetahui berkenaan ajaran Taurat yang sebenar. Dengan itu, mereka kekal menolak Nabi Muhammad saw, malah memusuhi ajaran Islam.

d) Apabila mereka beragama secara taklid dan bukan berakal, tidak hairan sebarang perkara yang tidak selaras dengan kehendak dan kepentingan mereka, pasti akan ditolak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.