SHAH ALAM, 7 OKT: Universiti Selangor (Unisel) menerima pengiktirafan apabila disenaraikan dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Timbalan perdana menteri berkata penyertaan itu memperluaskan peranan Unisel dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sekali gus membuka lebih banyak peluang pembelajaran untuk anak tempatan.
"Ini akan menambah nilai kepada Unisel. Insya-Allah, lebih ramai pelajar teknikal dan profesional akan mendaftar di Unisel. Majlis TVET Negara akan memberikan sokongan penuh kepada Unisel sebagai sebahagian daripada MTUN," kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Jelajah Hari Terbuka Malaysia MADANI, UNISEL Depani dan Kelapa Festival Bagan Datuk 2024 di Waterfront Bagan Datuk, Perak, semalam. Hadir sama Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.
Sementara itu pengarah komunikasi korporat Unisel berkata siri jelajah itu antara usaha untuk membina masyarakat berkualiti tinggi menerusi pendidikan, seiring status sebagai institusi pendidikan tinggi milik penuh Kerajaan Selangor.
Jelas Hasril Abu Hassan menerusi kenyataan, program bersama masyarakat juga membentuk peribadi mahasiswa yang berwibawa selain memantapkan kemahiran insaniah.