KUALA SELANGOR, 6 OKT: Sebanyak 8,762 aduan berkenaan kesalahan merokok di premis makanan diterima sejak Januari hingga Ogos lalu, kata menteri kesihatan.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bagi kesalahan tersebut, Selangor merupakan negeri tertinggi menerima notis dengan 4,838 notis dikeluarkan, diikuti Sarawak, Johor, dan Pulau Pinang.
“Kita boleh sahaja mahu isu kompaun, tetapi kita beri notis amaran. Kita mahu ada penguatkuasaan pendidikan, amaran, kecelikan dan penjelasan dahulu.
“Tetapi ke depan nanti, pada 1 April 2025 kita akan kuat kuasa dengan tegas,” katanya pada sidang media selepas menyertai program Walkabout Premis Bersih Bebas Asap (BeBAs) peringkat negeri di sini, hari ini.
Sebanyak 44 premis di sekitar Puncak Alam diperiksa, dengan sembilan premis berjaya meraih pengiktirafan premis Bersih dan Selamat (BeSS).
[caption id="attachment_666806" align="aligncenter" width="664"] Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan sijil pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) kepada pemilik premis di sebuah premis di Eco Grandeur, Puncak Alam, Kuala Selangor ketika menyertai program Walkabout Khas Premis Bersih, Bebas Asap "BeBas" pada 6 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Program bagi memperkenalkan Akta 852 iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin.
Sementara itu, Dzulkefly menafikan dakwaan kementeriannya lewat dalam melaksanakan siasatan terhadap kejadian kes bunuh diri membabitkan seorang doktor di Sabah.
Beliau menjelaskan, panel siasatan bebas ditubuhkan selepas pihaknya melakukan siasatan awal di setiap peringkat bersama semua pihak terlibat.
“Untuk mengatakan kita lewat itu adalah silap. Kita adakan siasatan segera dari peringkat jabatan kesihatan negeri. Panel siasatan bebas itu ditubuh selepas keputusan siasatan awal.
“Ex gratia (pampasan) kita perlu tunggu. Selepas dapatan itu, kalau mendiang layak, kita akan segerakan. Kita telus, tiada apa mahu disembunyikan,” katanya.
Pada 29 Ogos lalu, seorang doktor pakar di Hospital Lahad Datu, Sabah ditemui mati di kediamannya dan kematiannya dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.