SHAH ALAM, 6 OKT: Pasukan Sukarelawan Selangor (Serve) akan digerakkan ke operasi pascabah bagi membantu kerja pembersihan dan pemunggahan barang rosak milik mangsa banjir.
Dato’ Menteri Besar berkata dalam usaha meringankan beban mangsa, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI juga menyerahkan bantuan asas kecemasan seperti keperluan harian.
“Insya-Allah Kerajaan Negeri akan sentiasa memelihara kebajikan mangsa bencana ini dari masa ke semasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.
Malam semalam Amirudin meluang masa melawat lebih 600 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, Bestari Jaya dan SK Desa Aman Coalfield.
“Insya-Allah jika cuaca mengizinkan, mangsa di PPS SK Desa Aman boleh pulang ke rumah masing-masing hari ini setelah tiga hari meninggalkan rumah mereka,” katanya.
Setakat pagi tadi, EXCO Bencana Najwan Halimi memaklumkan 909 mangsa banjir melibatkan 213 keluarga masih ditempatkan di enam PPS.
Jumlah melibatkan mangsa di Kuala Selangor, Gombak dan Petaling itu menurun berbanding 975 orang daripada 232 keluarga malam tadi.
[caption id="attachment_666746" align="aligncenter" width="944"] Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, Bestari Jaya dan PPS SK Desa Aman, Desa Coalfields pada 5 Oktober 2024. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
[caption id="attachment_666747" align="aligncenter" width="1113"] Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad menemui mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, Bestari Jaya dan PPS SK Desa Aman, Desa Coalfields pada 5 Oktober 2024. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]