ad
AGENDA

Selangor FC, STDC perkasa pemain dengan kemahiran, jamin masa depan cerah

6 Okt 2024, 6:58 AM
Selangor FC, STDC perkasa pemain dengan kemahiran, jamin masa depan cerah
Selangor FC, STDC perkasa pemain dengan kemahiran, jamin masa depan cerah

SHAH ALAM, 6 OKT: Selangor FC menjalin kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) bagi memperkasa pemain muda dengan kemahiran teknikal dan vokasional.

Selangor FC memaklumkan inisiatif berkenaan bakal memberi manfaat di luar kerjaya bola sepak selain memastikan pemain memiliki kemahiran berharga untuk masa depan.

“Melalui kerjasama ini, pemain muda dalam pasukan pembangunan dan utama berpeluang mendaftar dalam kursus khusus ditawarkan STDC.

“Kursus ini direka bentuk melibatkan pelbagai bidang dan ia merupakan laluan kerjaya sebaik sahaja tamat karier dalam sukan bola sepak,” menerusi kenyataan di Facebook.

Sementara itu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor bertitah kelab bakal menawar lebih banyak inisiatif bagi memastikan perkembangan pembangunan belia.

Titah Tengku Amir Shah kelab mengenal pasti beberapa perkara penting dalam memupuk bakat muda di samping memahami kepentingan menyokong atlet muda dalam perkembangan mereka.

“Kerjasama ini dapat memperkasa individu dengan kemahiran praktikal yang membuka peluang kerjaya selain membantu masa depan yang lebih cerah,” titah Baginda.

Ketua Pegawai Eksekutif STDC Ramali Abu Bakar berkata pihaknya bersetuju menyumbang RM10,000 kepada kerjasama berkenaan bagi tujuan pengiklanan komersial.

“Dalam masa sama kedua-dua organisasi meneroka cara tambahan untuk mengukuhkan perkongsian ini,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.