ad
AGENDA

Perkeso sasar sejuta pencarum kategori kerja sendiri menjelang akhir tahun ini

6 Okt 2024, 4:43 AM
Perkeso sasar sejuta pencarum kategori kerja sendiri menjelang akhir tahun ini

SEREMBAN, 6 OKT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan untuk mencapai sejuta pencarum bagi kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso Roshaimi Mat Rosely berkata setakat 27 September lalu, seramai 693,969 individu berdaftar sebagai pencarum aktif OBS di seluruh negara.

"Jumlah ini menunjukkan trend peningkatan pencarum baharu yang semakin memberangsangkan," katanya ketika ditemui media pada Majlis Libat Urus dan Jalinan Mesra Perkeso Bersama Media Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Roshaimi juga menjelaskan bahawa jumlah pencarum OBS dijangka terus meningkat, terutama dengan pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk penjaja dan peniaga berlesen yang bermula 1 Januari 2025.

Beliau berkata sesi libat urus dengan semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sepanjang tahun ini akan diadakan bagi meningkatkan kesedaran kepada mereka bekerja sendiri termasuk peniaga serta penjaja.

Roshaimi berkata pihaknya juga giat meneruskan promosi kepada OBS termasuk kepada pengamal media sambilan bagi meningkatkan kesedaran mencarum dengan Perkeso.

Menurutnya pelbagai inisiatif dapat dimanfaatkan terutama mereka bekerja sendiri dengan perlindungan keselamatan sosial jangka panjang yang bersifat komprehensif.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.