SHAH ALAM, 6 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan terdapat keperluan pelaksanaan kubur bertingkat di beberapa kawasan tanah perkuburan Islam negeri ini.
Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata antara daerah kritikal termasuk Gombak, Hulu Langat dan Klang berdasarkan kepadatan penduduk dan kesediaan tanah.
Beliau menjelaskan pelaksanaan kubur bertingkat sudah difatwakan harus dan pihaknya akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri beberapa syor dan kaedah pelaksanaan mengikut kesesuaian lokasi.
“Sebenarnya awal tahun ini (Jais) sudah bentang kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sebab sudah ada keperluan (kubur bertingkat) di Lembah Klang khususnya kerana kepadatan penduduk dan tanah memang sukar (didapati).
[caption id="attachment_666588" align="alignleft" width="415"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Festival Al-Barzanji dan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Keharusan kubur bertingkat itu sudah difatwa, cumanya saya akan cadangkan kembali kepada Kerajaan Negeri beberapa syor (bergantung kesesuaian dan keperluan sesuatu kawasan) kerana ada tanah perkuburan habis digunakan sepenuhnya, ada yang digunakan sebahagian dan tanah perkuburan baharu” katanya.
Ditemui selepas majlis penutup Festival Al-Barzanji dan Marhaban Selangor di masjid negeri semalam, Mohd Shahzihan berkata beberapa prosedur perlu dilalui sebelum cadangan kubur bertingkat itu boleh dilaksanakan.
"Cadangan kaedah pelaksanaan perlu dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa dan jika dipersetujui akan disembah maklum pada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) untuk dibincangkan secara lebih mendalam seterusnya kepada Kerajaan Negeri.
"Kaedah pelaksanaan telah dikenal pasti, tinggal dimuktamadkan mengikut kedudukan dan status kubur sama ada penuh, separuh penuh atau kosong," katanya.
Menurutnya sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah dan daerah akan turut dilaksanakan bagi memaklumkan perkara itu.
“Ini sebab Jais tahu nisbah kematian setiap tahun, kapasiti tanah perkuburan dan sebagainya yang memungkinkan Jais mengenalpasti kawasan atau daerah mana yang memerlukan kubur bertingkat,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali Altimet mengesyorkan pelaksanaan kubur bertingkat di Selangor.
Menurutnya Ampang boleh dijadikan perintis kepada cadangan itu susulan semua tanah perkuburan di kawasan itu sudah penuh kecuali di Ukay Perdana.