SHAH ALAM, 5 OKT: Seramai 108 individu terkait dengan GISB Holdings (GISBH) yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum ini akan menjalani proses pemulihan akidah.
Pengarah Jais berkata ia selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebelum ini yang berpuas hati dan meyakini pemimpin, ahli GISBH serta rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah.
Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata fahaman berkenaan sudahpun diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam menurut Warta No.54 pada 4 Februari 1993.
[caption id="attachment_666586" align="aligncenter" width="739"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berucap merasmikan Festival Al-Barzanji dan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“108 individu ini mereka ditahan dan sudah dijamin (untuk disiasat lanjut). Jadi yang kita nak semua yang terlibat sama ada bersalah atau tidak mesti dipulihkan. Sebab jelas apa yang mereka buat dan sebagainya dan fatwa adalah sumber atau asas tindakan kita.
“Fatwa telah menyebelahi kita, mereka hendaklah dipulihkan. Maka siapa-siapa yang terlibat mesti pulih. Mesti keluar daripada sistem dia, masuk ke sistem kita melalui pemulihan-pemulihan yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.
Ditemui selepas majlis penutup Festival Al-Barzanji dan Marhaban Selangor di masjid negeri, hari ini, Mohd Shahzihan mengesahkan akan ada tangkapan susulan membabitkan individu dikaitkan GISBH.
[caption id="attachment_666587" align="aligncenter" width="719"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad (enam, kiri) menyampaikan hadiah kepada kumpulan Shoutul Makmuriah dari Sungai Besar yang menjadi johan Festival Al-Barzanji dan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebelum ini Mohd Shahzihan memaklumkan Jais menahan 108 individu yang dikaitkan dengan GISBH yang disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah syariah merangkumi soal akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
Pada 3 Oktober Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berpuas hati dan meyakini pemimpin, ahli lGISBH serta rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, zikir agung yang dibawa al-Arqam itu diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam menurut Warta No.54 pada 4 Februari 1993.
Jelasnya, fahaman dan amalan GISBH mempuyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah daripada aspek akidah dan syariat.
[caption id="attachment_666059" align="aligncenter" width="766"] Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari terhadap 24 individu termasuk pemimpin kanan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada 25 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]
Sementara itu berhubung Ajaran Cahaya yang dilaporkan disebarkan di Negeri Sembilan, Mohd Shahzihan berkata tiada laporan diterima Jais setakat ini berhubung penyebarannya di Selangor.
“Buat masa ini tidak terima laporan. Tiada fakta tentang itu. Kalau ada biasanya Selangor antara yang mendahului untuk isu itu dan kita akan siasatlah,” katanya.
Jumaat lalu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Ahmad Zaki Hamzah mendedahkan Ajaran Cahaya didalangi lelaki warga Singapura berusia 60 tahun dikesan bertapak di Kuala Pilah sejak setahun lalu.