SHAH ALAM, 5 OKT: Usahawan Bumiputera digesa mendapatkn sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memperluaskan rangkaian perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Dato’ Menteri Besar berkata dengan adanya pengesahan halal berkenaan, produk usahawan boleh menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menjamin peningkatan pendapatan.
Berdasarkan data, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan majoriti syarikat yang memiliki sijil berkenaan di negeri ini adalah pengusaha bukan Islam.
“Mereka (Bumiputera) tidak ambil sijil halal kerana dua faktor. Satu kerana tiada kemahuan kerana merasakan mereka muslim jadi orang rasakan produk mereka halal.
“Kedua sebab kos namun saya percaya Jakim sudah mengurangkan jumlahnya malah agensi itu sudah memperkemaskan permohonan supaya proses menjadi mudah.
“Usahawan Bumiputera perlu ambil serius perkara ini. Semasa MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) baru-baru ini, ekosistem mengenai industri halal sedunia diberikan penekanan,” katanya.
[caption id="attachment_666534" align="aligncenter" width="700"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perasmian Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Ditemui pada sidang media perasmian Ekspo Usahawan Selangor 2024 (SELBIZ) , Amirudin berkata pentadbirannya berterusan memberi latihan serta program yang dapat mempersiapkan usahawan ke arah mendapatkan sijil berkenaan.
“Kerajaan Negeri juga sediajan platform sebagai sokongan kepada mereka. Tidak dinafikan proses permohonan halal leceh kerana meliputi semua aspek termasuk proses penyediaan produk
“Hal ini menyebabkan ada usahawan merasakan malas, namun dengan sijil inilah produk mereka mendapat pengiktirafan daripada negara luar,” katanya.
Julai lalu, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah menyeru syarikat Bumiputera memohon sijil halal bagi mengukuhkan imej produk, sekali gus bersaing dan meneroka pasaran luar negara.
Menurutnya, ia berikutan data menunjukkan hanya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pemohon sijil halal Jakim melibatkan pengusaha Bumiputera.
[caption id="attachment_666533" align="aligncenter" width="700"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pameran ketika majlis Perasmian Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Turut sama EXCO Keusahawanan Najwan Halimi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]