IPOH, 4 OKT: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu peluang pekerjaan sebagai juruterbang membabitkan kerugian RM24,000 antara tahun 2016 hingga 2018.
Mohamad Faizul Baharudin, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Shariff.
Dia didakwa menipu Latipah Ahmad Sudan, 64, dengan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM24,000 bagi mendapatkan pekerjaan sebagai juruterbang yang tidak wujud.
Perbuatan itu dilakukan pada 22 Dis 2016 hingga 8 April 2018 antara 12 tengah hari hingga 1 petang di cawangan sebuah bank di Gunung Rapat dekat sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mohon satu tarikh bagi sebutan semula kes.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Robert Gnanarajan memohon jaminan minima kerana tertuduh mempunyai lima cahaya mata dan bekerja sendiri.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 dan menetapkan 27 Nov ini untuk sebutan semula kes.
-BERNAMA