ad
AGENDA

Teks khutbah Jais dedah empat penyimpangan fahaman GISBH

4 Okt 2024, 8:04 AM
Teks khutbah Jais dedah empat penyimpangan fahaman GISBH

SHAH ALAM, 4 OKT: Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan umat Islam menjauhi kumpulan GISB Holdings (GISBH) yang menyimpang daripada akidah Islam sebenar dan mengelirukan.

Menerusi teks dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), penyimpangan berlaku dalam bentuk pemujaan berlebihan terhadap pemimpin, amalan poligami dan unsur syirik diwarisi dari al-Arqam.

Turut dikesan ialah kepercayaan kepada kebangkitan semula pemimpin al-Arqam yang meninggal dunia dan penyelewengan apabila mempercayai kebangkitan Imam Mahdi yang dikaitkan dengan gerakan itu.

"Kita sebagai umat Islam hendaklah mematuhi bersungguh-sungguh setiap ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan fatwa yang ditetapkan serta taatilah ketua agama yang beramal dengan ajaran itu.

"Tinggalkanlah ajaran dan fahaman al-Arqam dan mana-mana ajaran lain yang mempunyai persamaan dengan kumpulan itu," teks khutbah itu dipetik.

Penerangan bagi penyimpangan amalan GISBH seperti berikut:

1. Percaya kebangkitan semula pemimpin al-Arqam yang meninggal dunia

-Sebagai contoh As-Suhaimi mati pada zahir sahaja dan lahir semula sebagai Imam Mahdi

2. Taksub dan memuja kepimpinan Ashaari Muhammad

-Percaya Ashaari memiliki kuasa kerohanian luar biasa dan dakwaan percaya Sheikh Muhammad al-Suhaimi akan kembali sebagai Imam Mahdi

3. Wujud unsur khurafat dan syirik dari ajaran asal al-Arqam

-Minda Abuya wahyu Tuhan, Allah akan beritahu Abuya sesuatu penyakit dalam kalangan pengikutnya

dan mampu meramal masa depan

4. Amalan poligami tidak ikut hukum syarak

-Adakan seminar dan kempen untuk luaskan amalan poligami dalam kalangan ahli hingga abaikan hak dan kesejahteraan wanita

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berpuas hati dan meyakini pemimpin, ahli GISBH serta rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung dibawa al-Arqam.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut memberi perkenan kepada fatwa terkini yang disembah maklum Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir.

Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Dalam operasi itu, seramai 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.