SHAH ALAM, 4 OKT: Selangor menyalurkan bantuan kecemasan RM1,000 kepada keluarga terjejas banjir dan berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.
EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata bantuan diselaraskan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk meringankan beban mereka yang berdepan bencana itu.
“Di Selangor, kita ada menyediakan bantuan khusus kepada mereka yang terjejas banjir, cuma mereka perlu daftar di PPS bagi memudahkan proses pengagihan,” katanya.
Ditemui selepas meninjau PPS Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras di sini hari ini, jelasnya, keadaan banjir kilat di sekitar kawasan itu menyebabkan tiga PPS dibuka sejak Rabu.
[caption id="attachment_666398" align="aligncenter" width="745"] Sebahagian mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan MBSA Seri Pagi Paya Jaras, U19 Sungai Buloh pada 4 Oktober 2024. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Dua lagi lokasi ialah Dewan Kenanga Pejabat Tanah Daerah Petaling yang menempatkan 265 mangsa daripada 64 keluarga, manakala Dewan MBSA Matahari meliputi 48 mangsa daripada 14 keluarga.
PPS di Dewan MBSA Seri Pagi Shah Alam ditutup tengah hari tadi selepas kesemua 101 mangsa daripada 26 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Setakat malam tadi, sejumlah 1,968 mangsa melibatkan 480 keluarga dipindahkan ke enam PPS berikutan banjir di Petaling, Gombak dan Kuala Selangor.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari meminta semua pihak bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan banjir berikutan Selangor ketika ini mengalami fasa peralihan Monsun Timur Laut.