SHAH ALAM, 4 OKT: Sejumlah 1,968 mangsa melibatkan 480 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir melanda tiga daerah, setakat malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata kawasan terjejas adalah Petaling, Gombak dan Kuala Selangor.
“Semua mangsa diselamatkan pasukan bomba yang ke lokasi bagi operasi banjir,” kata Ahmad Mukhlis Mukhtar seperti dilapor Harian Metro.
Berikut enam PPS yang dibuka:
- Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras
- Dewan Kenanga
- Dewan MBSA Bunga Matahari
- Dewan MPS Seri Kundang
- Sekolah Rendah Agama Kuang
- Sekolah Kebangsaan Desa Aman
Menurut Ahmad Mukhlis, seramai 54 anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Sungai Buloh, Bestari Jaya, Selayang, Batu Arang, Bukit Jelutong serta Dengkil terbabit operasi berkenaan.
“JBPM turut melakukan pemantauan di 21 lokasi dinaiki air antaranya Kampung Kubu Gajah, Merbau Sempah, Kampung Cempedak di Kuang; Kampung Melayu Subang, dan Jalan Tembusu, Subang.
“Selain itu Kampung Sri Aman, Taman Saujana Aman, Kampung Parit Mahang di Kuala Selangor; Sungai Buah, Jambatan Sekolah Vokasional, Revolusi Hijau dan Pasar Dengkil di Sepang.
“Turut dipantau Kampung Selayang Baru, Kampung Laksamana, Indian Sattlement di Selayang, Taman Rahmat Jaya Kundang, Lorong Utama 1, Lorong Setia 7, Kampung Melayu Sri Kundang, Lorong Haji Talib, Kampung Gombak dan Kampung Bunga Raya di Gombak," katanya.
[caption id="attachment_666349" align="aligncenter" width="812"] Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergegas meninjau lokasi dinaiki air sejurus menerima berita beberapa kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri Sungai Tua alami banjir kilat pada 3 November 2024. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar meminta semua pihak bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan banjir berikutan Selangor ketika ini sedang mengalami fasa peralihan Monsun Timur Laut.
Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga ahli Parlimen Gombak dan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua memaklumkan beliau turut bergegas ke beberapa kawasan terjejas malam tadi susulan laporan banjir kilat.