SHAH ALAM, 3 OKT: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berpuas hati dan meyakini pemimpin, ahli GISB Holdings (GISBH) serta rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, zikir agung itu dibawa al-Arqam, yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam menurut Warta No. 54 pada 4 Februari 1993.
Jelasnya, fahaman dan amalan GISBH mempuyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah daripada aspek akidah dan syariat.
"Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen ini disifatkan menyeleweng dan bertentangan ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
"Butiran lanjut mengenai fatwa terkini ini akan dihuraikan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor," menurut kenyataan tersebut.
[caption id="attachment_666254" align="aligncenter" width="741"] Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) memberi perkenan keputusan hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang disembah maklum oleh Mufti Selangor Dato' Dr Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 3 Oktober 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]
Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan kepada fatwa terkini berkenaan fahaman GISBH dan rangkaiannya.
Keputusan hasil mesyuarat khas pada 30 September lalu disembah maklum oleh Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.
Dalam kenyataan semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan beberapa amalan dan kepercayaan ahli GISBH yang kini disiasat, bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.
Pengarahnya Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata ahli kumpulan itu turut mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan memberi keberkatan dan membolehkan mereka masuk syurga.
Siasatan Jais juga mendapati perkahwinan dan perceraian dalam kalangan ahli diatur pemimpin kumpulan itu, selain tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen sah.
Kedua-dua proses itu tidak mendapat kebenaran pendaftar perkahwinan, cerai dan rujuk bagi anak dara dan teruna dan poligami dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.