KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat membangun dan mempromosi karya pereka dan arkitek tempatan sekali gus membawa kreativiti industri reka bentuk ke pentas antarabangsa.
EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri juga terbuka untuk menjalin kerjasama atau memberi bimbingan dan keperluan bagi memajukan sektor berkenaan.
“Saya percaya, dengan menyediakan platform untuk interaksi antara pakar industri, pelanggan berpotensi, pembekal dan rakan kongsi, kita akan dapat memacu perkembangan globalisasi dalam industri ini.
“Saya juga ingin menekankan betapa pentingnya inovasi dan reka bentuk pintar dalam usaha kita mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Terdahulu beliau menghadiri majlis pelancaran Anugerah Rekaan Cemerlang Rekatone Antarabangsa di Pavillion Embassy Service Suites di sini, hari ini.
Anugerah julung kali anjuran platform pereka dalaman, Rekatone.com bertujuan mengiktiraf karya dan bakat individu atau syarikat dalam bidang reka bentuk dan seni bina negara.
Dalam pada itu, Najwan menyeru kepada semua pereka, arkitek, dan penggiat industri untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi, kreatif serta beretika.
Menurutnya, industri reka bentuk turut berdepan masalah isu penipuan dengan kira-kira 1,200 kes dilapor di seluruh negara pada tahun lalu membabitkan nilai kerugian RM50 juta.
“Kes-kes ini melibatkan janji palsu, kerja berkualiti rendah dan projek yang tidak siap. Oleh itu, adalah tanggungjawab kita untuk memastikan industri ini beroperasi dengan telus dan bertanggungjawab,” katanya.