ad
AGENDA

MB: Tindakan terhadap GISBH berdasarkan keputusan fatwa

3 Okt 2024, 7:35 AM
MB: Tindakan terhadap GISBH berdasarkan keputusan fatwa
MB: Tindakan terhadap GISBH berdasarkan keputusan fatwa

GOMBAK, 3 OKT: Sebarang tindakan terhadap kumpulan GISB Holdings (GISBH) dibuat berdasarkan fatwa yang bakal diputuskan dalam masa terdekat, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, pihaknya akan merujuk garis panduan dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, yang akan diperkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Ini adalah struktur (tatacara) majlis fatwa dan Majlis Agama Islam Selangor, yang dipersembah kepada Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) sebagai ketua (agama Islam negeri) untuk isytihar dan perkenan.

“Selepas menghadap Tuanku, keputusan fatwa ini akan diumumkan kepada orang ramai dan negeri. Kita akan bertindak berdasarkan fatwa dan keputusan digariskan Jawatankuasa Fatwa,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Selangor 1000 Digital siri lima anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di sini, hari ini.

[caption id="attachment_666001" align="aligncenter" width="708"] Beberapa premis perniagaan yang dipercayai berada di bawah pengelolaan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) ditutup semasa tinjauan fotoBernama di Subang pada 21 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Semalam, EXCO agama Islam berkata keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung kegiatan GISBH akan disembah maklum kepada Sultan Selangor hari ini.

Menurut Dr Fahmi Ngah, Sultan Sharafuddin akan memperkenan dapatan hasil penelitian tersebut terlebih dahulu sebelum ia difatwakan (diwartakan).

Sebelum ini, Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Anhar Opir berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membentang semua penelitian berhubung kegiatan berhubung kumpulan berkenaan pada 30 September.

Selain mesyuarat berkenaan, pihaknya turut mengkaji dan menilai semua bahan bukti diterima daripada polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selain keterangan individu terlibat.

Dalam kenyataan semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan beberapa amalan dan kepercayaan ahli GISBH yang kini disiasat, bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.

Pengarahnya Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata ahli kumpulan itu turut mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan memberi keberkatan dan membolehkan mereka masuk syurga.

Siasatan Jais juga mendapati perkahwinan dan perceraian dalam kalangan ahli diatur pemimpin kumpulan itu, selain tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen sah.

Kedua-dua proses itu tidak mendapat kebenaran pendaftar perkahwinan, cerai dan rujuk bagi anak dara dan teruna, manakala poligami pula dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.