ad
BERITA UTAMA

Selangor adakan latihan simulasi banjir depani Monsun Timur Laut

3 Okt 2024, 6:29 AM
Selangor adakan latihan simulasi banjir depani Monsun Timur Laut

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Latihan amal dan simulasi bencana membabitkan pelbagai agensi diadakan minggu depan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, dijangka bermula November ini.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata latihan tahunan di Pulau Meranti, Puchong bagi memastikan pengurusan komunikasi lebih tersusun dan efektif ketika berdepan bencana.

“Semalam kita sudah laksanakan mesyuarat penyelarasan bencana negeri melibatkan semua agensi terlibat termasuk pihak berkuasa untuk kemas kini dan persiapan.

“Minggu depan kita ada simulasi latihan bencana di Pulau Meranti bersama semua agensi. Di situ kita akan uji semua aset yang dimiliki untuk pastikan ia dapat digunakan dengan baik,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran Anugerah Rekaan Cemerlang Rekatone Antarabangsa di Pavillion Embassy Service Suites di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Najwan memaklumkan lebih 1,000 pusat pemindahan sementera (PPS) di seluruh negeri dalam keadaan bersiap sedia jika berlaku insiden bencana.

Menurutnya, semua agensi khususnya Pejabat Daerah dan Tanah menjalin kerjasama baik dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi memastikan semua urusan berjalan lancar.

“Jika ada keperluan buka PPS, kita akan laksanakan segera. Kita ada lebih 1,000 PPS dalam kesiapsiagaan yang tinggi jika berlaku bencana yang tidak diingini,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka Monsun Timur Laut bermula November depan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Semalam, Selangorkini melaporkan negeri bakal berdepan fenomena air pasang besar tertinggi tahun ini pada 18 Oktober depan, dengan jangkaan bacaan paras air laut 5.8 meter.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.