SHAH ALAM, 3 OKT: Seramai 500 penunggang motosikal terawal berpeluang mengisi petrol percuma sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-24 pada 10 Oktober.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan program siri ke tiga itu bermula 11.30 pagi di Stesen Minyak Petronas Kota Kemuning 1, Persiaran Anggerik Mokara, Seksyen 31, di sini.
“Jom sama-sama hadir ke program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma. Terhad kepada 500 buah motosikal terawal sahaja,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, MBSA menganjurkan dua siri program petrol percuma kepada ratusan penunggang motosikal pada 2 April dan 21 Mei.
Selain program petrol percuma, MBSA turut menyediakan pelbagai insentif termasuk kempen pengurangan kompaun parkir RM20 dan potongan 5 peratus kepada kompaun terpilih.
Orang ramai turut ditawarkan keahlian percuma di perpustakaan MBSA sepanjang Oktober.