KUALA LUMPUR, 2 OKT: Polis mengesahkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut selepas terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah di Jalan Syed Putra semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 6.59 petang.
Beliau berkata mangsa berumur 13 tahun jatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan di lokasi.
“Mayat mangsa dirujuk ke Bahagian Forensik dan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini.
“Kes kematian ini diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). Justeru itu, polis menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ku Mashariman berkata orang awam yang mempunyai maklumat boleh hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
- BERNAMA