ad
AGENDA

Jais: Amalan perkahwinan dalam GISBH akibat nasab bercelaru

2 Okt 2024, 12:17 PM
Jais: Amalan perkahwinan dalam GISBH akibat nasab bercelaru
Jais: Amalan perkahwinan dalam GISBH akibat nasab bercelaru

SHAH ALAM, 2 OKT: Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapati perkahwinan dan perceraian dalam kalangan ahli GISB Holdings (GISBH) diatur pemimpin kumpulan itu.

Pengarahnya berkata perkahwinan juga tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen sah, selain tiada kebenaran pendaftar perkahwinan, cerai dan rujuk bagi anak dara dan teruna.

Menurut Dato' Mohd Shahzihan Ahmad, siasatan terhadap 108 individu disyaki terkait kumpulan itu turut mengesan poligami dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.

Beliau menambah situasi dan keadaan tersebut menyebabkan kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).

"Perkara ini dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak yang diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak.

"Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah," katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_666059" align="aligncenter" width="678"] Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari terhadap 24 individu termasuk pemimpin kanan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada 25 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata Jais berkerjasama dengan pelbagai agensi untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar dari 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.

Petang tadi, EXCO agama Islam berkata keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung kegiatan GISBH akan disembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor esok.

Menurut Dr Fahmi Ngah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan memperkenan dapatan hasil penelitian tersebut terlebih dahulu sebelum ia difatwakan (diwartakan).

Sebelum ini, Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Anhar Opir berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membentang semua penelitian berhubung kegiatan berhubung kumpulan berkenaan pada 30 September.

Selain mesyuarat berkenaan, pihaknya turut mengkaji dan menilai semua bahan bukti diterima daripada polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selain keterangan individu terlibat.

Berikutan pembongkaran isu GISBH ketika ini, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap kegiatan kumpulan itu yang disyaki melakukan jenayah berat.

Baginda juga bertitah semua rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup bagi mencegah kanak-kanak dianiaya.

Baginda turut menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.

Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Dalam operasi itu, seramai 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.