SHAH ALAM, 2 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan beberapa amalan dan kepercayaan ahli GISB Holdings (GISBH) yang kini disiasat, bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.
Pengarahnya Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata ahli kumpulan itu turut mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan memberi keberkatan dan membolehkan mereka masuk syurga.
"(Mereka ini) mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seramai 108 individu disyaki terkait GISBH ditangkap setakat ini, dengan pelbagai kesalahan jenayah syariah meliputi akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
Jelasnya, siri tangkapan itu dijangka akan berterusan melibatkan suspek yang disyaki dan dikenal pasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat diterima oleh jabatan tersebut.
[caption id="attachment_595550" align="alignleft" width="437"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual Media Selangor di pejabat Jais, Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM[/caption]
Petang tadi, EXCO agama Islam berkata keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung kegiatan GISBH akan disembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor esok.
Menurut Dr Fahmi Ngah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan memperkenan dapatan hasil penelitian tersebut sebelum ia difatwakan (diwartakan).
Sebelum ini, Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Anhar Opir berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membentang semua penelitian berhubung kegiatan berhubung kumpulan berkenaan pada 30 September.
Selain mesyuarat berkenaan, pihaknya turut mengkaji dan menilai semua bahan bukti diterima daripada polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selain keterangan individu terlibat.
Berikutan pembongkaran isu GISBH ketika ini, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap kegiatan kumpulan tersebut yang disyaki melakukan jenayah berat.
Baginda juga bertitah semua rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup bagi mencegah kanak-kanak dianiaya.
Baginda turut menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.
Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
Dalam operasi itu, seramai 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.